Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Kegiatan pengedaran dadah didalangi seorang lelaki di daerah ini tumpas apabila dia ditahan di kawasan lorong sebuah taman perumahan di Sungai Kob di sini semalam.
Lelaki berusia 34 tahun dan tidak bekerja itu ditahan bersama dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM29,095 kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim memberitahu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim yang melakukan rondaan Ops Tapis menahan suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas beg silang suspek menemui empat peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 220.70 gram dan empat peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 140.50 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, polis kemudian menahan suspek untuk tindakan lanjut dan dadah dirampas bersama beberapa barangan lain seperti alat penimbang digital.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM29,095 berdasarkan harga pasaran sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, suspek disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini sejak tahun 2010.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-K! ONLINE