WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk membina sebuah ‘lebuh raya’ angkasa lepas yang lengkap dengan beberapa perhentian dalam menjadikan sesi lawatan ke ruang angkasa sebagai suatu kebiasaan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Perintah Pengangkutan AS dan Angkatan Angkasa Lepas AS yakin bahawa orang ramai akan menggunakan lebuh raya angkasa lepas pada masa akan datang.
Sistem yang akan dibangunkan negara itu turut dilihat dapat membawa rakan kerjasama komersial serta sekutu AS untuk membuat lawatan kerap dan berulang-alik ke Bulan serta seluruh alam semesta.
Bagi tujuan itu, beberapa hab untuk mengisi bahan api yang lengkap dengan perkhidmatan baik pulih turut akan dibina.
Selain itu, AS juga sedang meninjau lokasi orbit yang sesuai untuk dijadikan perhentian dengan jangkaan untuk beroperasi dalam jangka masa lebih cepat bagi menandingi China.
“Kami telah menetapkan standard, doktrin serta tadbir urus dalam kalangan prinsip-prinsip yang kami percaya.
“Sebagai mana bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa untuk angkasa lepas, saya percaya bahawa pengangkutan angkasa lepas juga akan menggunakan bahasa ini, dan bukannya Mandarin,” kata Ketua Angkatan Angkasa Lepas, Bridget Jeneral John Olson.
AS dan China ketika ini sedang bersaing untuk mendarat di Bulan. Pihak pertama yang berjaya sampai berpeluang memilih hartanah pertama di situ, di mana pangkalan bulan berkemungkinan dapat dibina. – Agensi