fbpx

Bunuh pengutip besi buruk, peniaga kekal ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga warung selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang pengutip besi buruk di Kerteh, Terengganu enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat bersama dua lagi hakim iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang menolak rayuan terakhir Mohamad Zulkifli Ismail, 56, selaku perayu.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim Vernon berkata mahkamah berpuas hati bahawa dapatan hakim bicara bergantung kepada keterangan mengikut keadaan yang relevan dan alasan penghakiman yang dikemukakan lengkap serta teliti.

“Hakim bicara tidak tersalah arah ketika mencapai dapatan kes menjadikan sabitan adalah selamat untuk dikekalkan.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan akhir perayu (Mohamad Zulkifli) selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan tiada merit,” kata hakim Vernon.

Pada Mei 2018, Mohamad Zulkifli dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana membunuh Zulkefle Abdullah, 37, di sebuah rumah di Kampung Labohan, Kerteh, Terengganu pukul 10.30 pagi pada 7 Disember 2015.

Dalam masa sama, perayu turut dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas rakan Zulkefle, Faizul Awang, 35, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, pihak pembelaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman menyebabkan kecederaan parah yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah manakala perayu diwakili peguam-peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman Mat Yusoff.

Terdahulu, peguam Ariff Azami semasa berhujah, berkata hakim bicara terkhilaf kerana gagal mempertimbang bahawa tikaman tunggal pada dada kanan mangsa bukan dilakukan dengan sepenuh kekuatan manakala senjata tidak ditinggalkan terus pada dada mangsa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI