fbpx

Rumah Pokok Cyberjaya usahatani pasangan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RATUSAN pokok cili di dalam beg poli itu dilihat tumbuh subur di atas tanah berkeluasan suku ekar yang terletak di Taman Pinggiran
Cyber, Cyberjaya.

Dikenali sebagai Rumah Pokok Cyberjaya, kawasan yang menempatkan tanaman utama iaitu cili fertigasi itu diusahakan pasangan suami isteri muda, Sharil Azrin Damiri dan Nurul Azira Azreen Zulhisham, 31.

Bermula dengan menanam 20 pokok cili di halaman rumah pada awal tahun 2019 sebagai hobi, pemuda yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat Petronas itu kemudian menubuhkan Rumah Pokok Cyberjaya pada Jun tahun lalu sebagai simbolik rumah perlindungan buat pokok selain merujuk kepada tempat mendapatkan ketenangan.

Kini, Rumah Pokok Cyberjaya yang diusahakan Sharil bersama isterinya menempatkan 600 batang pokok aneka cili. Antaranya ialah cili bara, cili Thai Sakata 508 dan cili besar Sakata 461. Selain cili, Sharil turut mengusahakan tanaman lain seperti terung panjang, timun dan tembikai wangi (rock melon).

Cili Bara merupakan antara tanaman yang diusahakan Sharil bersama isterinya.

Bermula sekadar hobi, hasil tanaman di Rumah Pokok Cyber terletak berdekatan rumah mereka itu kini turut dijual di kawasan sekitar dan restoran.

Begitupun, adakalanya hasil tanaman tidak dapat menampung permintaan pelanggan memandangkan terdapat pembuat sambal yang menempah secara mingguan dari Rumah Pokok Cyberjaya.

“Minat untuk bercucuk tanam sebenarnya sudah wujud dalam diri saya sejak melanjutkan pengajian di menara gading. Pada ketika itu saya berusia 18 tahun. Bagaimanapun ia masih belum dapat direalisasikan sehinggalah dua tahun lalu.

“Pada tahun 2019, saya menjalani kursus asas tanaman fertigasi anjuran Pusat Latihan Formeniaga dan sejak dari itu saya memulakan tanaman secara kecil-kecilan di halaman rumah sehingga tertubuhnya Rumah Pokok Cyberjaya ini,” katanya kepada iGen.

Sharil turut menjadikan bercucuk tanam sebagai aktiviti bersama keluarga.

Memilih tanaman cili sebagai tanaman utama untuk diusahakan, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, tumbuhan tersebut mempunyai pasaran yang luas dan mudah dipasarkan.

Terangnya lagi, walaupun penjagaan tanaman cili amat leceh dan rumit, tetapi masalah itu cuma terjadi pada peringkat awal pembesaran sahaja.

Ini kerana, setelah cili membuahkan hasil dan sedia untuk dituai, pokok tersebut semakin mudah untuk dijaga sehingga habis musimnya.

Berkongsi pengalaman pertamanya bercucuk tanam, Sharil berkata, daripada 20 pokok yang ditanamnya ketika itu, tidak semuanya menjadi.

“Ada antara pokok tersebut mati diserang hama, lalat putih, kutu daun dan kulat sebelum hasilnya dapat dituai.

“Ada juga yang kekurangan baja dan air sehingga keguguran daun dan pokoknya terbantut. Tetapi, melalui pengalaman itulah saya belajar selain nasihat-nasihat daripada kumpulan di Facebook sehingga sekarang,” kongsinya.

Menurut Sharil lagi, setakat ini Rumah Pokok Cyberjaya secara keseluruhannya telah mengeluarkan kira-kira 1,000 pokok sepanjang dua musim.

Setakat ini Rumah Pokok Cyberjaya secara keseluruhannya telah mengeluarkan kira-kira 1,000 pokok sepanjang dua musim.

Selain menjadikannya hobi atau sumber pendapatan sampingan, tanaman yang diusahakan itu juga sebagai satu inisiatif menyemarakkan
pertanian bandar.

“Pertanian secara fertigasi ini adalah mudah kerana tanaman ditanam secara ‘tanpa tanah’ yang mana pokok dijaga di dalam beg poli berisi cocopeat (sabut kelapa) sementara pengairan dan pembajaan pula secara automatik.

“Ramai orang boleh menceburi pertanian moden ini dan sekurang-kurangnya dapat dijadikan hobi yang menjana pendapatan sampingan,” ujarnya.

Sharil turut menitip kata-kata semangat buat golongan muda yang mahu menceburi bidang pertanian.

“Bercucuk tanam tidak memerlukan modal besar, asalkan ada minat dan perasaan ingin tahu. Ia boleh dimulakan secara kecil-kecilan.

“Daripada kecil-kecilan, anda akan timba pengalaman berguna untuk terus bertani secara besar-besaran pula. Bagi saya, tiada istilah tangan panas atau sejuk yang menentukan kemenjadian tanaman seperti dikata orang,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI