PENYERANG utama skuad bawah 22 (B-22) negara, Luqman Hakim Shamsuddin tidak risau sekiranya dirantai pasukan Laos pada aksi pembukaan Kumpulan J saingan kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar hari ini.
Kata Luqman, barisan pemain sudah menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Mongolia sejak tiba di negara itu pada Khamis lepas dan kini bersedia untuk meraih tiga mata penuh pada aksi pertama nanti.
“Selepas empat hari di Mongolia, saya lihat barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya daripada mental dan fizikal dalam usaha mencatat kemenangan pada pertemuan pertama menentang Laos.
“Kami jangka ia bakal menjadi perlawanan yang sukar dan saya juga sudah ingatkan rakan-rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah dengan keupayaan pasukan Laos kerana mereka juga boleh membuat kejutan.
“Mengenai potensi untuk dirantai, saya akui ia adalah perkara biasa sebagai pemain di posisi penyerang dan saya jangkakan cabaran yang hebat bakal diberikan oleh pertahanan lawan.
“Namun, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan paling penting perlu bijak menggunakan peluang yang terhidang sebaik mungkin,” katanya selepas tamat sesi latihan semalam.
Mengulas lanjut, penyerang yang mewakili kelab Belgium, KV Kortrijk itu percaya hanya kemenangan boleh mencerahkan peluang dalam usaha meloloskan diri ke pentas kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.
“Misi kami hanya satu iaitu meraih kemenangan kerana ia akan membuka peluang buat pasukan dalam usaha mara ke kejohanan utama nanti. Saya pasti jurulatih sudah memiliki perancangan tersendiri,” katanya.