KUALA PERLIS – Sektor pelancongan di Pulau Langkawi kini semakin rancak dan meriah selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan, namun pengendali perkhidmatan feri penumpang terus dibelenggu dengan masalah air cetek di perairan itu lebih 10 tahun lalu.
Masalah alur pelayaran cetek di kawasan Terminal Feri Kuala Perlis itu didakwa semakin serius sejak empat tahun lalu sehingga menjejaskan sebahagian jadual perjalanan feri ke pulau peranginan terkenal tersebut.
Selain itu, air cetek juga mengundang masalah lebih buruk apabila feri berisiko tersangkut di dalam lumpur tebal.
Pada 14 November 2019, paras air cetek yang mencecah bawah 0.1 meter telah menyebabkan perjalanan bagi 1,050 penumpang feri dari terminal Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi pada pukul 7 malam terpaksa ditunda pada pukul 9 malam.
Pada Jun 2018, seramai 423 penumpang pula terkandas selama kira-kira lapan jam selepas feri terlanggar beting pasir berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis pukul 8.30 malam.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom memberitahu, masalah air cetek sudah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi semakin teruk sejak 2017.
“Langkah penyelesaian sementara yang boleh dibuat kerajaan adalah dengan melakukan kerja-kerja pengerukan bagi mendalamkan alur pelayaran setiap dua atau tiga tahun sekali.
“Bagaimanapun, alur perairan biasanya akan menjadi cetek semula dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas kerja-kerja pengerukan dilakukan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, kerja-kerja pengerukan bagi keselamatan pelayaran kali terakhir dilakukan dua tahun lalu, namun alur pelayaran kembali cetek ketika ini.
Kata Baharin, kejadian air surut adalah tidak menentu dan pihaknya akan merujuk jadual air pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Kejadian air surut di kawasan cetek itu menyebabkan feri tidak dapat berlayar mengikut jadual selain terpaksa mengehadkan perjalanan ke Langkawi.
“Penumpang mungkin terpaksa menunggu selama lapan jam jika feri berlayar lewat daripada jadual dirancang,” katanya.
Justeru ujarnya, pihak konsortium sentiasa mengingatkan penumpang untuk datang awal agar masalah kelewatan feri keluar dari terminal dapat dielakkan.
“Masalah air cetek ini juga menyebabkan feri boleh terkandas di perairan berlumpur dan ia boleh membahayakan penumpang dan feri.
“Ia juga akan menyebabkan jadual perjalanan feri terganggu kerana kita terpaksa menunggu paras air sesuai untuk feri melakukan perjalanan,” katanya.
Menurutnya, sejak kejadian 423 penumpang dan lapan anak kapal terkandas selama lapan jam di perairan itu pada 2018, konsortium telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan jumlah perjalanan feri dan turut mengambil kira keadaan air pasang surut.
Sebelum ini katanya, feri boleh belayar sekiranya paras air satu meter dan ketika ini ia dinaikkan kepada paras 1.5 meter.
“Namun begitu, masih berlaku kejadian feri tersangkut pada lumpur,” katanya.
Justeru, pihaknya mencadangkan supaya kajian secara menyeluruh dapat dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut untuk jangka masa panjang.
“Sebagai contoh membina satu terminal bersepadu dengan menyatukan operasi di Terminal Feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
“Lokasi yang dikenal pasti sesuai adalah di Kuala Sanglang dengan pembinaan jeti menggunakan reka bentuk Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi,” katanya.
Ketika ini, laluan Kuala Perlis ke Langkawi adalah dua trip sehari dan jumlah perjalanan akan ditambah mengikut permintaan semasa selain berdasarkan air pasang surut. -K! ONLINE