CLUJ, Romania – Harapan pemain tenis sensasi Britain, Emma Raducanu untuk beraksi di hadapan penyokong di Romania pada Terbuka Transylvania bermula minggu ini tidak kesampaian selepas kerajaan mengharamkan kehadiran penonton ekoran pandemik Covid-19.
Sebagai rekod, Raducanu sebelum ini mengakui sangat teruja untuk membuat penampilan pertama pada Terbuka Transylvania sekali gus tampil secara kompetitif di negara kelahiran ayahnya buat kali pertama dalam karier.
Namun, peningkatan mendadak kes positif Covid-19 telah menyaksikan pihak penganjur terpaksa menganjurkan kejohanan siri Jelajah WTA itu tanpa kehadiran penonton bagi menyekat penularan pandemik itu.
“Kami telah mendapat maklum balas saat akhir daripada pihak kerajaan untuk memastikan kejohanan Terbuka Transylvania dianjurkan tanpa kehadiran penonton memandangkan peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini.
“Bagaimanapun, kami akan tetap berusaha menganjurkan kejohanan ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan gelembung sukan bagi menjamin keselamatan atlet dan pegawai yang hadir,” kata jurucakap penganjur dalam satu kenyataan.
Raducanu yang baru berusia 19 tahun telah menggegarkan arena tenis dengan meraih gelaran Grand Slam pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan lalu selepas menewaskan wakil Kanada, Leylah Fernandez dengan kemenangan straight set di pentas final.
Namun, pemain ranking ke-24 dunia itu gagal meneruskan prestasi yang diharapkan selepas tersingkir awal pada kejohanan berprestij, Terbuka Indian Wells awal bulan ini kepada pemain kurang ternama dari Belarus, Aliaksandra Sasnovich. – AGENSI