fbpx

Selebriti, rakyat Malaysia tangisi pemergian Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Que Haidar dan Sharifah Aleya antara nama yang pernah mencipta populariti dengan watak-watak menerusi filem arahan Mamat.

PETALING JAYA – Media sosial sejak malam tadi dibanjiri dengan tangisan dan ratapan rakyat Malaysia  yang terkesan selepas mendapat berita pemergian pengarah Allahyarham Mamat Khalid.

Majoriti pengguna media sosial turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun sekitar pukul 12.30 pagi tadi.

Selain ucapan takziah, netizen termasuk golongan selebriti turut berkongsi memori dan pengalaman manis bekerja bersama Allahyarham. Antaranya pelakon Que Haidar dan Sharifah Aleya.

“Antara pengarah terawal yang mengesan bakat saya.

“Bermula dengan satu iklan komersial seterusnya menghadiahkan saya watak Amy Mat Piah (Rock) dan Deris (Zombi Kampung Pisang). Al-Fatihah untuk abang,” ciap Que Haidar dalam Twitter.

Sementara itu, Sharifah Aleya juga turut mengimbau kenangan dan menzahirkan ucapan terima kasih buat Allahyarham kerana telah mencipta watak yang hebat untuknya dalam filem Man Laksa.

“Dia bertanggungjawab untuk sebuah watak yang paling diingati.

“Allahyarham mencipta, bawanya kepada kehidupan dan berinya masa depan. Terima kasih abang Mamat kerana meminjamkan saya watak Chah,” ujarnya dalam satu ciapan Twitter.

Dalam pada itu, netizen yang juga peminat karya seni Allahyarham tidak henti-henti menyenaraikan sekali gus mengimbau filem-filem hebat arahannya yang telah meninggalkan impak luar biasa buat penontonnya.

“Selepas ini tiada lagi cerita lucu pada bulan puasa. Tenanglah dikau di alam abadi,” ucap seorang netizen.

“Zaman kanak-kanak aku rasa lengkap dengan cerita dari Mamat Khalid. Betul-betul terasa kehilangan,” komen seorang lagi netizen.

Sehingga kini, nama Mamat Khalid sohor kini dalam Twitter sejak malam tadi.

Malam tadi, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 12.30 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak.

Berita duka tersebut turut disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah yang memaklumkan Allahyarham telah dikejarkan ke hospital selepas pengsan di restoran miliknya di Tanjung Malim.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Sungai Rokam pada pukul 11 pagi ini sebelum dikebumikan di Masjid Kg. Paloh, Ipoh, Perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI