KUALA LUMPUR – UMW Toyota Motor (UMW Toyota) baru-baru ini mengumumkan cawangan Lexus Mutiara Damansara sudah dipindahkan kepada pihak pengedarnya bagi tujuan mempertingkatkan lagi kecekapan operasi berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Keputusan itu adalah selari dengan pengumuman syarikat sejak bulan Oktober 2017 yang menyatakan, semua operasi cawangannya akan dipindahkan kepada pengedar dan pihak lain.
Pengedar, Hiewa Auto Gallery (Lexus) Sdn. Bhd. sudah mengambil alih cawangan Lexus Mutiara Damansara.
Ini membolehkan UMW Toyota memberi fokus dan usaha penuh terhadap aktiviti-aktiviti utama yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar.
Pada masa sama, pihak pengedar pula akan memberi perhatian kepada usaha untuk memenuhi kepuasan dan jangkaan pengguna yang lebih baik.
“Adalah penting untuk Lexus Malaysia terus mencapai standard kepuasan pelanggan yang tinggi,” kata Presiden syarikat, Ravindran K dalam satu kenyataan.
“Walaupun langkah ini menjadi perubahan penting bagi kami, pelanggan tidak perlu bimbang kerana kualiti servis tidak akan dikompromi, sebaliknya akan menjadi lebih baik pada masa hadapan,” tambahnya.