PUTRAJAYA – Pesakit sedang dirawat dan diasingkan semakin menurun di bawah angka 80,000 dengan 77,305 kes dilaporkan semalam.
Menurut data pada laman web CovidNow, ia melibatkan 59,687 kes dikuarantin di rumah dan 10,807 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Selain itu, 6,191 kes di hospital, 323 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 297 kes di ICU dengan bantuan pernafasan,” menurut laman web tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 42 kematian dilaporkan dan tiada kes kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan sebanyak 28,354 kes kematian Covid-19 di seluruh negara.
“Terdapat 10 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-death (BID) menjadikan kes kematian BID di seluruh negara mencatatkan 5,728 kes.
“Kesemua kes kematian dilaporkan di Sarawak (17), Kelantan (5), Selangor (5), Sabah (4), Perak (3), Johor (2), Negeri Sembilan (2), Pahang (1) Pulau Pinang (1), Terengganu (1) dan Kuala Lumpur (1) serta tiada kematian di Kedah, Melaka, Perlis, Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, 5,828 kes harian yang dilaporkan semalam disumbangkan oleh Selangor (1,037 kes), Sabah (592 kes), Sarawak (587 kes), Kelantan (544 kes), Johor (503 kes), Perak (411 kes), Terengganu (398 kes), Kedah (345 kes), Pulau Pinang (338 kes), Pahang (335 kes), Kuala Lumpur (250 kes), Melaka (223 kes), Negeri Sembilan (199 kes), Perlis (39 kes), Putrajaya (20 kes) dan Labuan (tiga kes). -K!ONLINE