fbpx

Mamat Khalid ‘hero’ yang menghantar mesej perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Halimah Sadique menganggap Mamat sebagai insan seni yang hebat apabila turut membantu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui karya seninya.

KUCHING – Pengarah filem tersohor, Mamat Khalid adalah seorang wira yang turut memperjuangkan agenda perpaduan.

Melalui karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia, pengarah filem tersohor itu telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum dalam karya-karya besarnya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique menganggap pengarah tersebut sebagai insan seni yang hebat apabila turut membantu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui karya seninya.

“Beliau adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

“Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu.

“Ada nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum, nilai kebersamaan melalui karya-karya Mamat,” kata Halimah.

Menurut Halimah, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain turut menghantar mesej-mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zamannya.

“Mamat Khalid bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi sesama masyarakat.

“Di situ ‘mahalnya’ sebuah karya seni apabila turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah,” katanya.

Halimah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pengarah filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah itu atas kembalinya ke rahmatullah.

“Saya berharap seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan atas kehilangan ini. Marilah kita seluruh umat Islam menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.

“Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” kata Halimah lagi.

Mamat Khalid, 58, meninggal dunia lewat malam tadi, di Hospital Slim River, Perak ekoran serangan jantung.

Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan dan lima anak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI