MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menekankan beberapa aspek yang perlu dilakukan skuad bimbingannya untuk menewaskan musuh tradisi, Barcelona dalam derbi El Clasico aksi La Liga di Stadium Camp Nou malam ini.
Ancelotti tentunya menarik nafas lega apabila pasukannya kembali ke landasan kemenangan sebelum bertemu Barcelona selepas gagal melakukannya dalam tiga perlawanan sebelum itu.
Los Blancos sekadar seri tanpa jaringan menentang Villarreal sebelum dikejutkan dengan dua kekalahan kepada Sheriff Tiraspol dan Espanyol.
Bagaimanapun, Real kembali ke tahap sebenar mereka dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas juara Ukraine, Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini.
“Perkara utama perlu dititikberatkan adalah cara kami bertahan apabila menentang Barcelona nanti. Ini adalah perkara paling sukar untuk dilakukan sebenarnya.
“Jika mahu menang, kami perlu pastikan pertahanan kami kebal dan mengharapkan serangan balas yang pantas dengan memanfaatkan ruang kosong di kawasaan lawan.
“Kami ada pemain yang berbahaya di jentera serangan yang boleh menjadi pertaruhan pasukan seperti Vinicius (Junior), Rodrygo dan (Karim) Benzema,” kata Ancelotti.
Real kini menyasarkan peluang untuk merakam kemenangan keempat berturut-turut ke atas Barcelona selepas menang tiga pertemuan terakhir El Clasico dengan keputusan 2-0 (Mac 2020), 3-1 (Oktober 2020) dan 2-1 pada April lalu.
Dalam perkembangan sama, Ancelotti menjelaskan, dua pemain utamanya iaitu Eden Hazard dan Dani Carvajal dilihat mempunyai peluang untuk membuat penampilan semula dalam aksi El Clasico selepas pulih daripada kecederaan. – AGENSI