BARCELONA – Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique mahu menutup mulut pengkritik yang memperlekehkan kemampuan mereka menjelang derbi El Clasico menentang musuh tradisi, Real Madrid pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou malam ini.
Pique sudah tidak sanggup mendengar komen-komen yang mengatakan The Catalans bakal menjadi mangsa Real melepas geram memandangkan mereka sudah kehilangan ‘magis’ Lionel Messi yang sentiasa menyinari aksi El Clasico selama ini.
Bagaimanapun, Pique percaya generasi baharu kali ini di bawah bimbingan Ronald Koeman tetap berpotensi untuk mengejutkan Real apatah lagi mereka berjaya kembali ke prestasi sebenar dengan dua kemenangan dalam dua aksi terakhir mereka.
“Tiada pasukan yang menjadi pilihan dalam El Clasico. Pertemuan El Clasico kali ini berbeza berbanding sebelum ini.
“Saya akui kami berdepan banyak krisis sejak kebelakangan ini tetapi ia semakin beransur pulih. Sekarang adalah waktu untuk kami mengubah persepsi semua orang.
“Namun, saya percaya kami akan menikmati El Clasico ini dengan memungut tiga mata. Kemenangan itu akan menjadi mesej penting buat Real bahawa kami akan mencabar kejuaraan La Liga musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, Barcelona menduduki tangga ketujuh La Liga dengan 15 mata, cuma dibezakan dua mata dengan Real yang berada di kedudukan ketiga selepas kedua-dua pasukan mengharungi lapan perlawanan setakat ini.
The Catalans dilaporkan menerima khabar gembira apabila bek kiri berpengaruh, Jordi Alba dikatakan semakin hampir mencapai tahap kecergasan terbaik untuk diturunkan menentang Real malam ini.
Selain Pique dan Alba, sandaran tentunya digalas bintang muda, Ansu Fati yang dikatakan bakal meneruskan legasi No. 10 Messi bersama pasukan itu selepas ini. – AGENSI