fbpx

Wawa tak malu tonjolkan budaya Bajau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wawa pernah dikaitkan dengan pelakon Sari Yanti kerana wajah mereka yang seiras.

Menemu bual gadis Pesona Ahad pada minggu ini, siapa sangka Emeraazwa Emeraldi merupakan anak jati Sabah.

Raut wajah dan tutur katanya tidak menterjemah Emeraazwa atau mesra dengan panggilan Wawa berasal dari Semporna dan berketurunan Bajau.

Namun, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas ini memikul amanah besar untuk mengetengahkan budaya etnik kedua terbesar di Sabah agar dapat dikongsi dan dinikmati bersama selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Ratu Lepa 2019 berusia 20 tahun itu turut berharap agar pelbagai keistimewaan masyarakat Bajau termasuk makanan dapat dinikmati orang ramai sekali gus mendekatkan kaum tersebut dengan masyarakat luar.

Kepada wartawan Kosmo! Ahad, Wawa berkongsi serba sedikit mengenai dirinya serta pengalamannya memegang gelaran Ratu Lepa.

Kosmo! Ahad: Boleh kongsikan mengenai Ratu Lepa 2019 yang disertai Wawa?
Wawa: Ratu Lepa merupakan gelaran yang diberikan kepada pemenang pertandingan pakaian tradisi Bajau Semporna iaitu Igal-Igal. Peserta pertandingan ini perlu memiliki kemahiran tiga tarian Bajau dan berpengetahuan luas mengenai kaum itu.

Apa keistimewaan tarian masyarakat Bajau?
Secara asasnya, tarian tradi­sional Bajau terbahagi kepada dua iaitu Igal Tradisi yang di­iringi alat muzik seperti gendang dan gong, manakala Igal Moden pula bersifat lebih kreatif apabila menggunakan muzik yang sudah diadun.

Emeraazwa Emeraldi

Boleh ceritakan mengenai kehidupan masyarakat Bajau?
Masyarakat Bajau suka tinggal di pesisir pantai kerana bekerja sebagai nelayan sejak dahulu lagi. Orang Bajau bukan sahaja berada di Sabah, malah di Indonesia dan Filipina. Uniknya masyarakat Bajau adalah makanan lautnya tidak perlu dimasak seperti latok, rumpai laut, teheh-teheh, tayum dan gamat.

Paling unik adalah ikan buntal dan antara masakan popular ikan itu ialah sagol. Jadi, selepas dinobatkan Ratu Lepa 2019, saya berazam untuk menonjolkan budaya Bajau agar lebih dikenali.
Ketika ini Bajau Semporna kurang mendapat perhatian, malah ada yang tidak mengena­linya.

Memiliki wajah seiras pelakon Sari Yanti. Apa pendapat Wawa?
Sejak berada di tingkatan empat lagi, ramai yang menegur wajah saya yang dikatakan mirip Sari Yanti. Saya anggap ia sebagai pujian.
Kadang-kadang rasa bersalah pun ada kerana dipuji cantik sedemikian rupa. Apa-apa­pun saya berterima kasih kepada mereka.

Ada perancangan untuk menceburi bidang seni?
Jika diberi peluang, saya tidak akan melepaskan untuk menceburi bidang lakonan kerana
suka mencuba sesuatu yang baharu.

Siapakah artis lelaki pi­lihan yang mahu digandingkan bersama Wawa?
Saya akan pilih penyanyi rap MK atau Muhammad Hairi Amri Hamdan sebab kami sama-sama berasal dari Sabah.

Lelaki matang atau pandai berjenaka. Mana satu pilihan?
Lelaki matang adalah pilihan saya. Sekiranya lelaki tersebut pandai berjenaka itu merupakan satu bonus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI