KOTA TINGGI – Kebimbangan seorang warga emas terhadap keselamatan cicitnya berasas selepas kanak-kanak berusia dua tahun itu maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Mawai-Kuala Sedili di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, Nurelina Abdullah, 2, maut, manakala ibunya, Nurellisa Mohd. Al Bakri, 21, cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah lori dari arah belakang.
Pemandu lori dan kelindan, iaitu lelaki tempatan masing-masing berusia 21 dan 25 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Shapiah Osman, 72, berkata, dia tidak mengetahui Nurellisa membawa anaknya ke kedai untuk membeli makanan.
“Jika tahu memang saya tidak benarkan dia membawa cicit saya. Bahkan selama ini saya sering berpesan agar jangan bawa anak jika naik motosikal kerana ia sangat bahaya.
“Nurelina sangat manja dengan saya sering panggil saya ‘nyang’ selain selalu tidur bersama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Shapiah menerima kunjungan Ketua Puteri Umno Bahagian Kota Tinggi, Norlizah Noh yang menyampaikan sumbangan di kediaman orang tua Nurellisa di Kampung Mawai di sini semalam.
Sementara itu, adik Nurellisa, Olivia berkata, kakaknya yang sedang hamil tiga bulan masih tidak mengetahui tentang kematian anaknya.
Katanya, buat masa ini doktor menasihatkan supaya tidak memaklumkan berita berkenaan kepada kakaknya itu.
“Kakak baru sahaja seminggu bekerja sebagai penghantar barang. Hari kejadian dia keluar membeli bubur sambil mencari rojak sekali namun kedai tutup.
“Dia ada ajak saya tapi saya tidak sihat. Tiba-tiba tidak lama selepas itu kami dapat berita dia kemalangan dengan lori bersama anaknya.
“Kakak kini dirawat di Hospital Sultan Ismail dan dia serta kandungannya berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.
Tambah Olivia, jenazah anak saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai, Kota Tinggi.