fbpx

Bapa minta RM10, anak ‘belasah’ dengan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI Hospital Machang inilah seorang warga emas menerima sembilan jahitan di kepala selepas dipukul anaknya hanya kerana meminta RM10 untuk membeli sarapan.

KOTA BHARU – Seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan sebatang kayu hanya kerana warga emas itu meminta wang RM10 untuk membeli sarapan pagi, 17 Oktober lalu.

Kejadian yang berlaku di Kampung Dusun Durian, Bekalam di sini itu menyebabkan mangsa yang berusia 62 tahun terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala selain pergelangan tangan kanannya patah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu dipercayai marah dengan bapanya yang meminta wang RM10 untuk membeli makanan.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi adiknya yang berusia 32 tahun dan memaklumkan dia telah memukul bapa mereka yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kayu.

“Adik suspek kemudian bergegas ke rumah bapanya sebaik menge­tahui kejadian berkenaan dan mendapati warga emas itu ce­dera pada bahagian kepala.

“Mangsa terus dibawa ke Hospital Machang dekat sini dan menerima sembilan jahitan selain pergelangan tangannya juga patah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, menurut Mohamad Ismail, mangsa pada awalnya enggan melaporkan kejadian itu kepada polis, namun adik suspek telah bertindak membuat laporan di Balai Polis Jelawat di sini Khamis lalu iaitu empat hari selepas kejadian.

Tambahnya, siasatan mendapati, warga emas itu enggan membuat laporan kerana khuatir suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah ditahan polis.

“Selepas menerima laporan, polis menahan suspek di rumahnya kira-kira pukul 5 petang pada hari yang sama.

“Polis turut merampas sebatang kayu yang sudah patah dipercayai digunakan lelaki itu semasa memukul bapanya.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat depan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah Mohamad Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI