HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khusus untuk perkhidmatan Penghantaran Makanan dan Bungkusan Bermotosikal (p-hailing).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, penyediaan plaform aduan itu bertujuan membantu peniaga dan pengguna menyalurkan sebarang isu berbangkit berkaitan perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata, ia memudahkan KPDNHEP mengenal pasti isu-isu berbangkit sebelum sebarang langkah atau tindakan selanjutnya diambil.
“Sepanjang tahun lalu, kita menerima sebanyak 1,933 aduan berhubung p-hailing manakala sejak awal tahun ini pula sebanyak 989 aduan diterima berkaitan p-hailing.
“Sebelum ini, aduan berkaitan dibuat melalui saluran sedia ada. Oleh itu, saluran aduan khusus untuk perkhidmatan p- hiling ini dibuat agar lebih berfokus,” katanya selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat Negeri Terengganu di Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Rosol memberitahu, peniaga, pengguna atau mana-mana pihak berkaitan kini boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan perkhidmatan p-hailing menerusi [email protected].
Tambah beliau, KPDNHEP turut merangka penambahbaikan industri p- hiling seperti cadangan pengenalan sistem caj komisen berperingkat dan fleksibel, pemantapan komunikasi dan latihan serta
penambahbaikan dokumen perjanjian dan kaedah pengambilan pakej promosi,” katanya. – K! ONLINE.