PETALING JAYA – Selepas hampir tiga bulan kematian isteri, pelawak Shuib berasa kelakar apabila wujud desas-desus mendakwa dirinya sedang didekati seorang wanita juga bergelar artis.
Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhamad, 37, menjelaskan dia juga langsung tidak tahu menahu tentang identiti wanita yang dimaksdukan dan bagaimana boleh timbulnya cerita sedemikian.
“Huh? Siapa ya? Saya tidak tahu langsung. Buat masa ini tidak ada sesiapa yang cuba dekati saya. Kalau ada pun saya banyak bercakap dengan pengurus saya,” katanya ketika di temui di majlis Indigital Music Night di Restoran D’Empangan Udang Galah, Putrajaya malam tadi.
Kata Shuib lagi, selepas lebih dua bulan kehilangan isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib memberitahu buat masa ini dia masih belum memikirkan soal jodoh dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Allah SWT.
Ujar Shuib, buat masa ini dia belum terfikir mahupun bersedia untuk mencari pengganti Siti Sarah, lebih-lebih lagi dia perlu memberikan sepenuh tumpuah terhadap empat orang anaknya terutama Ayash Affan yang baru berusia dua bulan.
“Buat masa sekarang, saya tidak kisah menjadi ibu dan ayah kepada semua anak-anak saya selepas pemergian Siti Sarah. Sebab itu saya tidak terfikir soal kahwin. Kadang-kadang saya terfikir juga apa perasaan arwah ‘di sana’ nanti?
“Soal jodoh saya tidak berani untuk berkata lebih. Semuanya saya serahkan pada Allah SWT dan saya percaya pada percaturan-Nya. Saya tidak menolak jodoh sebab percaya apa yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah yang terbaik buat saya,” katanya.
Kata usahawan minuman BubbleBee itu lagi, dia juga enggan bertegas langsung tidak mahu berkahwin memandangkan usianya baru mencecah 37 tahun.
“Tambahan pula saya ada empat orang anak dan mereka tentunya memerlukan juga kasih sayang daripada seorang wanita (ibu tiri). Ibu saya sendiri kata saya masih muda (layak untuk berkahwin lagi).
“Sebagai lelaki, sudah tentu saya juga mahukan kasih sayang daripada seorang wanita (bergelar isteri), mempunyai nafsu. Tapi perkara itu saya serahkan semuanya pada Allah SWT,” jelasnya.
Andai dipertemukan jodoh suatu hari nanti, Shuib berkata dia dua cuma mahukan seorang wanita yang boleh menerima kehadiran anak-anaknya dalam hidup bakal isterinya nanti.
“Saya tidak mahu atau mencari wanita yang mempunyai persamaan dengan arwah isteri sebab dia sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri. Tapi saya akan nilai beberapa kriteria demi untuk anak-anak saya dan bukan untuk diri sendiri semata-mata.
“Kalau dia berjaya curi hati anak-anak saya, mungkin dialah orangnya,” jelas Shuib.
Sekadar info, Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011. Bagaimanapun, Siti Sarah yang mengukir nama menerusi lagu Kesetiaan disahkan meninggal dunia pada 9 Ogos lalu selepas tiga hadir ditidurkan dan bertarung nyawa melawan virus Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selain Ayash Affan, pasangan itu turut dikurniakan tiga lagi cahaya matai aitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE