PENOLONG jurulatih basikal trek negara, Harnizam Basri berharap pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom segera mencari keserasian di Velodrom Couvert Regional Jean-Stablinski selepas tewas dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia 2021 di di Roubaix, Perancis kelmarin.
Harnizam mengakui, anak didiknya itu dilihat berhati-hati berikutan kali pertama bersaing di trek perlumbaan itu dan berharap Shah Firdaus dapat bangkit dalam acara pecut individu yang berlangsung hari ini.
“Ini adalah perlumbaan pertamanya selepas Sukan Olimpik 2020 di mana prestasinya tidak berada pada tahap optimum apabila pulang dari Tokyo dan berehat hampir sebulan.
“Lain venue lain keadaan treknya. Malah setiap trek mempunyai ciri-ciri istimewa dan kali ini, ia hanya dibuka untuk latihan sebelum pertandingan bermula susulan protokol Covid-19.
“Saya harap Shah Firdaus dapat menyesuaikan diri dengan keadaan trek dan lebih bersedia dalam acara pecut nanti,” katanya.
Pada saingan itu, Shah Firdaus terkandas di pusingan pertama dan impiannya untuk memburu tiket ke pusingan kedua gagal direalisasikan apabila menamatkan aksi di tempat ketiga.
Bagaimanapun, pelumba berasal dari Muar, Johor itu berpeluang untuk menebus kekecewaan tersebut menjelang perlumbaan pecut individu yang berlangsung hari ini dan esok nanti.
Selain Shah Firdaus, seorang lagi pelumba kebangsaan yang bersaing pada Kejohanan Dunia adalah bekas pelumba No. 1 dunia acara satu kilometer ujian masa, Fadhil Zonis.