LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mencabar Kai Havertz dan Callum Hudson-Odoi untuk membuktikan kemampuan mereka menggantikan tempat yang ditinggalkan Romelu Lukaku dan Timo Werner.
Havertz dan Hudson-Odoi diberi tanggungjawab untuk menggalas jentera serangan The Blues selepas dua penyerang utama itu dilaporkan bakal tersisih selama empat minggu kerana masalah kecederaan.
Lukaku dengan kecederaan pergelangan kaki, manakala Werner pula menghadapi masalah hamstring yang menyaksikan mereka berdua terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama ketika menentang Malmo pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin.
Justeru, Tuchel mahu melihat Havertz dan Hudson-Odoi membuktikan sesuatu kepada beliau menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Norwich City di Stadium Stamford Bridge malam ini.
“Ini adalah peluang terbaik buat mereka membuktikan bahawa mereka layak menggisi kekosongan yang ditinggalkan Lukaku dan Werner. Mereka perlu menunjukkan keinginan yang tinggi apabila berada di atas padang.
“Sebenarnya, saya mahu melihat perkara sama daripada semua orang, bukan hanya mereka berdua untuk menang perlawanan. Saya harap semua pemain faham mengenai kepentingan meraih tiga mata,” jelas Tuchel.
The Blues dijangka tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Norwich sekali gus melebarkan penguasaan sebagai pendahulu EPL ke atas pencabar-pencabar terdekat seperti Liverpool dan Manchester City. – AGENSI