fbpx

Hubungan dengan kekasih seberang sudah putus – Hafiz Hamidun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ HAMIDUN mengakui hubungan dengan kekasihnya, seorang selebriti media sosial Indonesia sudah terlerai.

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun mendedahkan hubungannya dengan seorang selebriti media sosial Indonesia telah berakhir.

Menurut Hafiz atau nama lengkapnya, Mohammad Hafiz Hamidun, 37, hubungan bersama wanita berstatus janda yang dikenalinya sekitar 2019 itu tidak dapat diteruskan kerana sukar untuk memberi komitmen pada hubungan jarak jauh terutama selepas penularan pandemik Covid-19.

“Hubungan dengan orang seberang sudah terputus. Disebabkan Covid-19, membataskan saya untuk bertemu dengan sesiapa. Jadi, komitmen terhadap hubungan jarak jauh tidak boleh diteruskan.

“Susah sebenarnya, adalah lebih baik saya fokus kepada kerjaya dan keluarga kecil saya sekarang,” ulas Hafiz mengenai hubungan peribadinya pada sidang media secara virtual sempena pelancaran album Zikir Terapi Acapella yang berlangsung sebentar tadi.

Meskipun begitu, Hafiz tidak serik dan bersikap terbuka andai dipertemukan jodoh dengan mana-mana wanita pada masa depan. Namun, begitu terdapat syarat yang ditetapkan Hafiz buat bakal isterinya.

Selain menerima Hafiz dan keluarga, bakal isterinya itu haruslah menerima anak angkatnya Hamdee Abdul Hafiz yang kini berusia setahun tujuh bulan dengan hati terbuka.

“Sekarang bukan terima saya sahaja, tetapi Hamdee juga. Harus tahu Hamdee lahir dan membesar dalam keadaan yang bagaimana kerana dia mempunyai sejarah tersendiri.

“Keluarga saya sudah tentu mengenalinya daripada kecil, kalau ada orang mahu berkahwin dengan saya, mana tahu kalau ada jodoh, dia (wanita ) memang kene terima bukan saja saya, keluarga, tetapi paling penting Hamdee,” ujar Hafiz.

Dalam pada itu, selepas 10 tahun, Hafiz muncul dengan buah tangan terbaharu iaitu Zikir Terapi Acapella yang merupakan album studio kesembilannya.

Album berkenaan merupakan nafas baharu daripada album Zikir Terapi Diri yang dilancarkan pada 2011 dan telah terjual lebih 1.5 juta unit.

“Perbezaan yang jelas dalam album terbaharu adalah lebih kepada versi vokal berbanding sebelum ini album zikir yang mempunyai muzik.

“Semuanya sama dengan album yang dikeluarkan pada 2011, cuma vokal diangkat sebagai perkara utama. Hal ini kerana, terdapat negara di Timur Tengah yang tidak mendengar muzik jadi album ini memang sesuai untuk pasaran di sana dan Afrika Utara,” jelas Hafiz.

Selain album secara digital, Hafiz akan menerbitkan versi cakera padat (CD) secara terhad dan eksklusif yang akan dijual menerusi Shopee. Video muzik dari album ini juga akan mula dikeluarkan seiring dengan pengedaran digital di YouTube.

Album Zikir Terapi Acapella diterbitkan sepenuhnya oleh Hafiz dan merupakan kerjasama penerbitan antara label miliknya, Arteffects dan Universal Music Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI