IPOH – Tiada halangan bagi mana-mana pihak atau pertubuhan yang dibenarkan untuk memberi sumbangan pada polis di negeri ini terutamanya dalam membantu penugasan warga pasukan itu dalam tugasan seharian.
Ini kerana pasukan itu bersikap terbuka selain mengambil kira ia sebagai tanda sokongan daripada masyarakat.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua pihak boleh tampil untuk memberikan sumbangan apatah lagi jika ianya boleh digunakan semasa penugasan.
“Sesiapa sahaja boleh beri sumbangan, pihak polis pula bersikap terbuka dan tidak menetapkan siapa siapa yang hendak memberi sumbangan.
“Yang penting ialah mereka berniat baik, justeru kita mengalu-alukan sesiapa atau mana-mana pihak yang hendak memberi sumbangan apatah lagi jika boleh digunakan menghadapi tugas harian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semasa diminta mengulas berita tular dalam beberapa laman portal berhubung bantuan 5,000 pelindung muka yang disumbangkan oleh pertubuhan Freemasons kepada polis Perak pada 15 Oktober lalu.
Sumbangan itu disampaikan Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia.
Selepas Perak, pertubuhan itu bercadang untuk melakukan sumbangan sama pada pasukan polis di Pulau Pinang dan Kedah. – K! ONLINE