fbpx

Ahmad Zahid ikut arahan PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa arahan agar lanjutan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB) sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) adalah arahan daripada Perdana Menteri ketika itu.

Saksi pendakwaan keempat, Datuk Suriani Ahmad berkata, ia berdasarkan minit yang ditulis pada surat ID 25 daripada Perdana Menteri kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Suriani Ahmad

Kata Suriani yang merupakan bekas bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) di Kementerian Dalam Negeri (KDN), minit pada ID 25 iaitu surat bertajuk Kemajuan dan Pencapaian Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) Sebagai Pembekal Solusi Sistem Pemprosesan Permohonan Visa Malaysia Global Yang Inovatif dan Berkesan Semenjak 2010 daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Mei 2010.

Tambahnya, terdapat tiga minit mesyuarat yang masing-masing 23 Mei 2013, 20 Januari 2014 dan 27 Oktober 2015 menunjukkan arahan daripada Perdana Menteri.

“Minit tersebut masing-masing berbunyi YB (Yang Berhormat) DS (Datuk Seri) Zahid, projek ini perlu diteruskan, arahan PM, sila bantu dalam hal ini, kontrak ini perlu diselesaikan dan YAB (Yang Amat Berhormat) DS Zahid, syarikat ini sudah dianugerah kontrak eVisa, sla teruskan pelaksanaan kontrak,” katanya pada pemeriksaan balas Peguam Hamidi Mohd. Noh.

Suriani yang kini bertugas sebagai KSU Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagaimanapun mengakui tidak mengenali tulisan siapa namun berkongsi perkataan yang ditulis pada minit terbabit.

Beliau turut bersetuju cadangan pihak pembelaan apabila menyatakan Ahmad Zahid juga mengikut arahan sepertimana dirinya sebagai penjawat awam yang perlu menurut arahan pihak atasan.

Ahmad Zahid sebelum ini didakwa atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Dia juga didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan kelima, Timbalan Setiausaha Bahagian (Perlembagaan), Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen, Sheeba Kunhimon, 48 berkata, gaji dan elaun Presiden UMNO ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri antara 2016 sehingga Mei 2018 ialah RM44,383.15 sebulan.

Ujarnya, gred gaji Ahmad Zahid adalah sebanyak RM18,168.15 manakala elaunnya ialah RM26,215 sebulan yang diterima sejak 26 Julai 2018 sehingga 9 Mei 2018.

“Tarikh lantikan Datuk Seri Zahid sebagai anggota pentadbiran kerajaan adalah seperti berikut iaitu 27 Mac 2004 sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Timbalan Menteri Penerangan (17 Februari 2006), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (19 Mac 2008), Menteri Pertahanan (10 April 2009), Menteri Dalam Negeri (16 Mei 2013 sehingga 9 Mei 2018) dan TPM merangkap Menteri Dalam Negeri (29 Julai 2015 sehingga 9 Mei 2018).

“Gred gaji mengikut Akta Ahli Parlimen seperti berikut iaitu antara 2004 hingga 2008 sebanyak RM10,847.65 sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, Menteri Persekutuan antara 2008 sehingga 2015 (RM14,907.20) dan TPM antara 2015 hingga 2018 (RM18,168.15),” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI