JERANTUT – Seorang wanita warga emas yang ‘tersesat’ ketika mencari tandas di belakang rumahnya bernasib baik selepas ditemukan Wanita UMNO Jerantut yang kebetulan datang ke rumahnya di Kampung Kuala Sat di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu Siti Asmah Dollah,82, yang mengalami masalah saraf, penglihatan dan juga kurang ingatan keluar dari rumah untuk ke tandas yang berada di luar rumah.
Bagaimanapun wanita yang tinggal bersama suaminya yang berumur 82 tahun itu tidak kembali semula ke rumah ketika kumpulan wanita UMNO berkenaan datang dalam program ziarah kasih di rumah tersebut.
Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Siti Hajar Mubin berkata, selepas dimaklumkan wanita warga emas berkenaan keluar rumah seorang diri, dia bersama 14 ahli Wanita UMNO bergegas mencari di kawasan sekitar sebelum menemukan wanita berkenaan berhampiran kawasan hutan kira-kira tujuh meter dari rumah berkenaan.
“Dalam masa lima minit mencari kami menemui wanita berkenaan yang sedang merangkak dan berada dalam keadaan kepenatan.
“Kami segera mengusungnya ke dalam rumah dan bersyukur dia tidak mengalami apa-apa kecederaan dan cuma penat kerana berjalan dan merangkak agak jauh,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Siti Hajar berdasarkan maklumat yang diterimanya wanita warga emas berkenaan telah lama menderita penyakit saraf dan hanya mampu merangkak untuk bergerak termasuk ke tandas yang terletak kira-kira lima meter di luar rumah.
Beliau memberitahu, segala makan minum serta kebajikan wanita berkenaan diuruskan oleh suaminya yang sebaya dengannya.
Dalam pada itu, Siti Hajar berkata, Wanita UMNO negeri akan menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada warga emas berkenaan bagi memudahkan dia bergerak di dalam dan luar rumah dengan bantuan suaminya.
“Hari ini menerusi program ziarah kasih saya bersama rakan Wanita UMNO menyumbangkan barang makanan dan sedikit wang tunai untuk meringankan beban perbelanjaan pasangan warga emas ini,” ujarnya. – K! ONLINE