KLANG – Penyebaran berita mendakwa daerah ini antara bandar berbahaya di Asia adalah tidak benar sama sekali dan ditulis tanpa fakta kesahihannya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, masyarakat dapat menilai kesahihan isu yang menjadi tular berdasarkan pemerhatian umum dan sumber teknologi sedia ada.
Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat bukan saja menjatuhkan imej ‘pencetus’ tular itu malah memberi persepsi negatif kepada lokasi yang dinyatakan.
“Berita itu membuka banyak mata bahawa tidak semua perkara tular adalah benar dan ia sesuatu yang tidak beretika.
“Meletakkan Klang sebagai bandar berbahaya di Asia dianggap keterlaluan dan kajian dilakukan juga boleh diragui berdasarkan sumber yang digunapakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! pada 4 Oktober lalu melaporkan Polis Selangor menafikan laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa Klang disenaraikan sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.
Jelas Ahmad Fadzli, isu keselamatan di Klang ditangani secara bersepadu oleh semua agensi mengikut skop tugasan masing-masing.
“Selain itu, fakta menunjukkan bahawa indeks jenayah masih terkawal.
“MPK sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama polis dalam memastikan bandar diraja ini selamat diduduki selaras dengan konsep Klang Sejahtera,” ujarnya. – K! ONLINE