KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah lori dalam kemalangan berlaku di Kilometer 4 Jalan Mawai – Kuala Sedili di sini hari ini.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku pada pukul 11.55 pagi ketika kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Kuala Sedili menghala ke arah Mawai.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dengan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori jenis Nissan yang datang dari arah sama.
“Akibat dari kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 21 tahun cedera parah. Manakala pembonceng iaitu kanak-kanak terbabit meninggal dilokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera di rawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Unit Forensik HKT untuk bedah siasat,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu lori dan kelindan, iaitu lelaki tempatan masing-masing berusia 21 dan 25 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE.