MELAKA – “Saya tidak dapat bercakap dengan dia, saya ingat dia boleh diselamatkan, rupanya keadaanya sangat kritikal sehinggalah menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam.”
Kata Noraida Che Nor, 39, balu kepada Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang meninggal dunia akibat lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat di sini kelmarin.
Allahyarham yang merupakan Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan telah berkhidmat selama 20 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 3.11 pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin, Mohd. Diya lemas ketika cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah di kawasan berkenaan.
“Kali terakhir kami berjumpa adalah pagi Selasa, arwah ambil cuti separuh hari untuk membawa anak kedua kami ambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin.
“Dalam pukul 6 petang, saya dapat panggilan daripada kenalan di Hospital Melaka memaklumkan suami telah lemas dan dalam keadaan kritikal,” kata Noraida ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Kampung Krubong, di sini semalam.
Tambahnya lagi, selepas dimasukkan ke hospital, suaminya itu tidak sedarkan diri sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi Noraida.
Berita berkaitan: Anggota bomba lemas disahkan meninggal dunia
Berita berkaitan: [Video]Bomba nyaris lemas bantu mangsa banjir
Ujarnya, perubahan sikap arwah disedari salah seorang anak perempuannya yang mendakwa sejak kebelakangan ini bapanya itu tidak memarahi mereka, sebaliknya lebih banyak tersenyum.
“Semalam arwah juga tidak menunjukkan sebarang sikap pelik dan pergi bekerja seperti biasa.
“Tapi anak perempuan saya cakap, baru-baru ini arwah tersenyum dan tidak marah mereka,” katanya.
Allahyarham Mohd. Diya meninggalkan empat orang anak iaitu Muhamad Daniel Hakime, 18; Nurul Ain Balqis, 16; Muhamad Danish Hakim, 12, dan Nurul Anisah Ilya, 9.