BIARPUN sudah 11 tahun berkelana dalam industri seni hiburan tanah air, nama penyanyi Nadeera Zaini masih belum ‘melekat’ di hati para pendengar muzik tempatan. Apatah lagi untuk diingati sebagai salah seorang penghibur hebat yang ada di Malaysia.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Nadeera yang dahulunya pernah cuba mencipta populariti menerusi rancangan Mentor Legend pada 2014 tidak pernah mengeluh dan merungut tatkala karier nyanyiannya masih belum mekar dan mewangi.
Malah, penyanyi itu yang juga pernah menyertai program Vokal Bukan Sekadar Rupa 2 percaya dengan rezeki serta takdir yang telah tertulis untuknya.
“Sudah 11 tahun sebenarnya saya terbabit dalam industri muzik. Tapi nampaknya belum ada rezeki lagi untuk menyerlah. Bagaimanapun, saya sentiasa percaya dengan takdir yang diatur Allah SWT,” ujarnya mengawali bicara.
Menurut penyanyi bervokal tinggi itu, dia percaya dengan rezeki yang telah ditetapkan Tuhan dan yakin bahawa masanya akan tiba suatu hari nanti.
“Sekiranya Allah SWT sudah tetapkan perjalanan rezeki seseorang, sampai masanya akan ada bahagian untuk saya suatu hari nanti,” katanya.
Mengorak langkah, Nadeera melancarkan single baharu berjudul Panah pada 1 Oktober lalu yang menjadi ‘buah tangan’ keempat pernah dihasilkan.
Malah, lagu tersebut turut mencuri perhatian apabila ramai penyanyi tempatan yang melakukan video nyanyian semula (cover).
Berkongsi mengenai single tersebut, Nadeera berkata, Panah merupakan hasil sentuhan lirik dirinya sendiri kolaborasi bersama penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya serta Sharon Paul.
Lirik lagu Panah berkisar tentang pengalaman hidupnya sendiri.
“Secara ringkasnya, Panah menceritakan kisah tentang seorang wanita yang dipermainkan teman lelakinya sehingga membuatkan dia patah hati.
“Bak kata pepatah, cinta sejati dilihat dalam tindakan bukan hanya melalui kata-kata. Oleh itu, dalam korus lagu ini menyatakan bahawa dia menyedari itu adalah cinta palsu dan tidak mahu terus hanyut dalam jerat percintaan lagi,” ujarnya.
Lebih manis, Panah turut terpilih menjadi salah satu runut bunyi untuk drama bertajuk Kisah Cinta Kita, hasil karya produser, Datuk A. Aida untuk slot Akasia tayangan TV3.
Drama berkenaan akan mula menemui penonton November depan.
Selain Panah, Nadeera juga akan mempertaruhkan sebuah lagi karya iaitu single duet bersama penyanyi baharu, Aisha Retno.
Lagu Panah edaran Werkit Records dan Alternate Records sudah dilancarkan dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Itunes, KKBOX, Deezer, Joox dan Youtube Music secara serentak mulai 1 Oktober lalu. Lirik video rasminya juga boleh ditonton dalam laman YouTube Alternate Records & Talents.