PETALING JAYA – Pengacara Maria Tunku Sabri terpaksa dikejarkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang malam tadi selepas gagal bacaan darah tinggi rendah, degupan jantung laju dan demam gara-gara dijangkiti Covid-19.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Maria turut berkongsi perjalanannya dibawa menaiki ambulans ke PKRC untuk rawatan walaupun tempoh kuarantinnya cuma berbaki tiga hari untuk tamat.
“Pengakhirannya saya ke Maeps. Lagi tiga hari sahaja kuarantin, saya diarah ke Klinik Kesihatan Hulu Klang. Saya gagal bacaan darah tinggi rendah, jantung laju dan masih demam.
“Allahuakbar, subhanallah, aku reda Ya Allah. Aku terima sakit penghapus dosa, insya-Allah,” tulisnya.
Ketika ambulans yang membawanya tiba di Maeps, bekas pengacara program Jalan Jalan Cari Makan itu sempat memohon maaf.
Dia turut meminta pengikutnya dalam Instagram supaya mendoakan kesejahteraan dirinya agar sembuh daripada Covid-19.
“Okey, ambulans dan sampai. Dari tadi menunggu tak sabar untuk ke Maeps sebab nak sihat cepat. Doakan saya semua kawan-kawan, saudara-mara, sedekahkan saya al-Fatihah. Saya sayang semua,” ujar Maria yang dilihat turut mencium tangan dan meminta maaf kepada suaminya.
Ketika berada di dalam ambulans, Maria dilihat turut mengalirkan air mata dan menangis kerana berasa gementar untuk dibawa ke PKRC bagi menjalani rawatan dan kuarantin di sana.
“Dugaan Allah SWT untuk saya dan suami. Saya reda, mungkin ada yang lebih baik Allah SWT dah aturkan untuk kami.
“Buat rakyat Malaysia, jangan ambil mudah Covid-19. Jika tidak ada gejala lagi bahaya. Tolong doakan kami sihat ya,” jelasnya.
Menjengah dalam ruangan komen, ramai rakan artis turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pengacara itu dan mendoakan agar Maria bersama suaminya sembuh seperti sediakala.
“Syafakillah kak. Moga diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” ujar pelakon dan juga penyanyi, Erra Fazira.
“Awak kuat dan semoga cepat sembuh. Kami akan sentiasa mendoakan akak dan juga keluarga,” kata Farahdhiya.
Terdahulu, menerusi satu hantaran yang dimuat naik Maria dalam Instagram miliknya tiga hari lalu, bekas pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu ada berkongsi peristiwa berkemungkinan dia dijangkiti Covid-19 daripada suaminya ketika berada di Ipoh, Perak. – K! ONLINE