fbpx

Anak-anak jangan abai pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 60 peratus daripada rantaian Co­vid-19 boleh diputuskan dengan pemakaian pelitup muka. - Gambar hiasan

 

 

COVID-19 bukanlah satu masalah baru dalam kehidupan masyarakat hari ini. Virus itu dijangka ‘hidup’ bersama kita dalam tempoh 2 tahun lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pernah mendedahkan 60 peratus daripada rantaian Co­vid-19 boleh diputuskan dengan pemakaian pelitup muka. 

Disebabkan itu, peraturan yang mewajibkan penggunaan pelitup muka dikuatkuasakan.

Begitupun selepas hampir tujuh bulan ‘hidup’ dengan virus itu, masyarakat hari ini dilihat sudah begitu selesa dan mula mengabaikan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.

Biarpun Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikuatkuasakan dengan mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam, namun masih ada lagi yang merasakan diri mereka ‘kebal’.

Lebih menggeramkan apabila segelintir ibu bapa yang memandang ringan isu pemakaian pelitup muka terhadap anak-anak mereka terutama di tempat awam yang sesak.

Situasi itu seolah-olah menunjukkan mereka dengan sengaja memperjudikan nyawa anak-anak.

Menurut seorang profesor di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi ber­kata, situasi­ yang berlaku pada masyarakat hari ini sebenarnya berpunca daripada tiga faktor.

“Faktor pertama melibatkan kelompok individu yang mempunyai tahap pengetahuan atau pendidikan yang rendah sehingga­ tidak dapat membayangkan kesan jika dijangkiti virus itu.

“Kelompok kedua pula ialah individu yang bersikap acuh tidak acuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. 

“Ketiga, elemen survival yang mana mereka terpaksa untuk meneruskan kehidupan seperti biasa berbanding hidup dalam ketakutan jika dijangkiti Co­vid-19,” jelasnya.

Biarpun begitu, rakyat perlu diberi pendedahan yang le­bih holistik bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang bahayanya virus tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila risiko penularan Covid-19 masih wujud. 

Menurut pakar perunding kanak-kanak, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Faizal Mohd. Fadzli, secara logiknya kanak-kanak adalah golongan yang be­risiko tinggi untuk sebarang jangkitan penyakit termasuk virus Covid-19.   

“Statistik sehingga bulan Mei 2020 menunjukkan hanya 317 kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 di Malaysia. 

“Walaupun tiada kes kematian atau jangkitan yang teruk dilaporkan dalam kalangan pesakit di bawah 12 tahun setakat ini, namun ia tidak bermaksud kanak-kanak imun atau tidak mudah dijangkiti Covid-19. 

“Mereka masih boleh dijang­kiti dan boleh menularkan jangkitan itu kepada orang lain,” ujarnya.

Tambah Faizal lagi, kaedah terbaik yang boleh dipraktikkan terhadap kumpulan kanak-kanak ini ialah menerusi pemakaian pelitup muka seperti yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Penggunaan pelitup muka mengurangkan risiko untuk virus disebarkan oleh pembawa selain mengelakkan ia daripada memasuki rongga hidung dan mulut individu yang sihat,” jelasnya.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan dan menjaga keselamatan anak masing-­ma­sing bagi memutuskan rantaian penyebaran virus dalam kala­ngan masyarakat setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI