YAN – Seorang pemandu jentera pengorek sudah terbayangkan kematian selepas terperangkap di atas jentera tersebut selama tiga jam dalam kejadian arus deras dari Gunung Jerai di kawasan peranginan Batu Hampar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, S. Latchumanan, 30, sedang menjalankan kerja-kerja mengorek Sungai Batu Hampar.
Menurut Latchumanan, dia berasa tidak sedap hati apabila kawasan tersebut mula diliputi awan hitam yang menandakan hari akan hujan.
“Selepas berlaku hujan lebat, saya mendengar deruan air yang kuat di bahagian atas sebelum bertindak memandu jentera ke kawasan lebih tinggi.
“Bagaimanapun, saya hanya sempat memandu sejauh 50 meter sebelum aliran air deras menghentam jentera dan memenuhi kawasan tersebut menyebabkan saya terperangkap,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, kira-kira pukul 8.45 malam, dia terdengar panggilan daripada anggota bomba yang datang untuk menyelamatkannya. – K! ONLINE