PETALING JAYA – Biarpun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon Raja Farah selepas pendedahan babak rogol yang tular, isteri pelakon Fauzi Nawawi iaitu Lisdawati kembali mencetuskan sensasi apabila belum bersedia memaafkan mereka yang mengutuk diri dan keluarganya.
Lisdawati atau nama lengkapnya, Nisdawati Nazaruddin, 43, dalam ruangan komen satu hantaran status suaminya berkata, selagi pelaku tersebut tidak meminta maaf daripadanya perbuatan mereka tidak akan dimaafkan.
“Saya sayang awak (Fauzi). Allah masih sayang tetapi saya juga manusia biasa.
“Saya belum mampu maafkan mereka yang mengeji, mengutuk, memaki saya dan keluarga sehingga mereka datang meminta maaf pada saya,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu.
Susulan kenyataan beremosi tersebut, rata-rata netizen mula mempersoalkan kewarasan fikiran aktres filem KL Menjerit itu.
“Kenapa pula orang perlu mohon maaf dengan kau. What a logic (apa logiknya),” ciap seorang netizen dalam Twitter.
Terdahulu, Fauzi berkongsi satu hantaran video selepas insiden ‘rape jokes’ tersebut meletus. Antara bait kata islamik yang dikongsi dalam video berbunyi: “Allah takkan memaafkan sehingga tuan yang dikutuk itu memaafkan.
“Dosa dengan orang, lagi orang itu tak ampun, Allah takkan ampunkan.”
Pelakon filem Munafik itu menulis sebagai kapsyen video berkenaan: “Semoga bermanfaat untuk diri sendiri dan semua yang pernah melakukan kesilapan. Memang kita tidak baik tetapi sentiasa baiki diri dan kesilapan.
“Ada hikmah dalam setiap yang berlaku, insya-Allah. Hari ini akan jadi lebih baik daripada hari-hari sebelumnya.”
Semalam, dalam pendedahan yang dibuat menerusi program Rumah No. 107 terbitan Astrio Warna, Fauzi bersama dua tetamu undangan lain, Fizz Fairuz dan Zul Huzaimy termasuk pengacara, Shuk Sahar berkongsi tentang watak jahat lakonan mereka.
Apa yang mengundang kemarahan netizen, Fauzi secara terperinci bercerita tentang babak rogol melibatkan Raja Farah dalam filem Anak Halal terbitan 2007 selepas soalan sensasi yang diajukan oleh Shuk. – K! ONLINE