MISANO – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Valentino Rossi mengakui cukup beremosi menjelang penampilan terakhir di laman sendiri pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Misano yang akan bermula esok.
Sebagai rekod, perlumbaan ketiga terakhir musim ini bersambung kembali ke Litar Misano selepas trek antarabangsa itu turut digunakan dalam GP San Marino bulan lalu.
Bagaimanapun, Rossi yang juga juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebanyak tujuh kali itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-17 dan kini berharap dapat menampilkan prestasi lebih meyakinkan.
Rossi berkata, sekalipun perlumbaan pertama di Misano itu menyentuh emosi tetapi pada masa sama cukup bersemangat untuk berlumba buat kali terakhir di litar tersebut selepas bakal bersara apabila tamat saingan musim ini.
“Saya akui prestasi semakin baik selepas dua minggu rehat kerana kami menjalani jadual padat termasuk perlu berlumba di Amerika Syarikat (AS), di mana saingan GP di Austin sangat mencabar.
“Buat masa ini, saya fokus untuk menempuh tiga saingan terakhir dengan harapan tahap kecergasan mental dan fizikal berada dalam keadaan terbaik.
“Apa yang pasti, perlumbaan kedua di Misano dijangka lebih sukar berbanding yang pertama kerana kehangatan bagi merebut gelaran dunia semakin dirasai.
“Kami perlu memberikan tumpuan penuh di atas litar selain mengharapkan tiada masalah teknikal yang dialami oleh jentera dalam usaha memburu kedudukan podium,” kata Rossi.
Pelumba kelahiran Itali itu meniti musim suram apabila sekadar menghuni kedudukan ke-21 keseluruhan dengan pungutan 29 mata selepas mengharungi 15 perlumbaan musim ini. – AGENSI