fbpx

8 penunggang basikal lajak ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sembilan kanak-kanak dan remaja termasuk seorang penunggang motosikal yang ditahan selepas terlibat dengan aktiviti basikal lajak dalam operasi di sekitar Johor Bahru pada 15 serta 16 Oktober lalu.-Foto IHSAN POLIS

JOHOR BAHRU – Seramai lapan penunggang basikal lajak termasuk kanak-kanak ditahan selepas disyaki menunggang dalam aksi berbahaya dalam dua lokasi berbeza di daerah ini pada 15 dan 16 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, dalam operasi khas basikal lajak itu, individu yang ditahan terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 15 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati banyak basikal telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi sebuah basikal yang selamat dan kesemua penunggang basikal terbabit dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siat berjaya mendedahkan kegiatan salah seorang remaja berusia 15 tahun yang berperanan sebagai ‘foreman’ basikal lajak dan ramai pelanggan datang ke rumah remaja terbabit untuk membaiki selain membeli alat ganti basikal,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fariz Ammar berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya berjaya menemui pelbagai komponen basikal lajak di kawasan rumah remaja berkenaan.

Jelasnya, kesemua penjaga kanak-kanak dan remaja yang ditahan telah dipanggil sebelum diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak serta kesan akibat jika berlaku kemalangan.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan turut dirampas lapan buah basikal lajak selain dua buah motosikal disita disyaki digunakan dalam aktiviti berkenaan.

“Polis juga mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal terbabit kerana tidak memiliki lesen memandu.

“Polis ingin menasihatkan agar ibu bapa atau penjaga memantau serta mengambil tahu pergerakan anak-anak terutama ketika mereka bermain basikal lajak agar tidak ada perkara tidak diingini berlaku,”katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN