KEYAKINAN pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya berada pada tahap terbaik selepas berjaya meraih mata dalam dua perlumbaan di Lombardia, Itali hujung minggu lalu untuk menutup tirai saingannya musim ini.
Khairulamirin, 19, menganggap ia adalah pengalaman bernilai buat dirinya beraksi pada Grand Prix (GP) Lombardia saingan Kejuaraan Supermoto Eropah S4 selepas pernah terlibat dalam kemalangan pertengahan tahun ini.
“Keyakinan saya meningkat sejak pulih daripada kecederaan. Pengalaman bernilai kerana dapat memperoleh mata setelah menamatkan kedua-dua perlumbaan di Itali.
“Saya dapat perbaiki gaya tunggangan dan mental serta emosi sepanjang tiga hari Kejuaraan Supermoto S4 ini. Saya tahu pelumba lain lebih hebat mengawal jentera kerana beraksi di ‘rumah’ sendiri.
“Namun, saya tidak rasa sedih ditinggalkan jauh tetapi cuba merapatkan diri dari segi catatan masa,” katanya menerusi perkongsian video kepada pemberita.
Khairulamirin berjaya meraih pencapaian terbaik iaitu tempat ketujuh dalam dua perlumbaan GP Lombardia berlangsung di Litar Castelletto untuk membolehkan dia memperbaiki kedudukan keseluruhan dalam carta Kejuaraan Supermoto Eropah S4.
Ia menyaksikan pelumba yang mesra disapa Rin itu menamatkan saingan Kejuaraan Supermoto Eropah S4 musim ini di tempat ke-14 daripada keseluruhan 19 peserta.
Sebagai rekod, Khairulamirin pernah mengalami kecederaan patah tulang pelvis dan pendarahan dalaman selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika melakukan latihan di Albaida, Sepanyol pada Jun lalu.