KETUA jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj menjelaskan, barisan pemainnya berjaya mencapai matlamat yang diletakkan dalam Siri Jelajah United Kingdom (UK) sehingga menyaksikan Malaysia melonjak ke ranking No. 10 dunia.
Menurut Arul, beliau berpuas hati dengan komitmen dan usaha ditunjukkan skuad kendaliannya sepanjang siri jelajah melibatkan empat aksi ujian menentang kelab dan enam perlawanan persahabatan bertemu negara-negara sekitar Eropah.
Hasilnya, Malaysian Tigers meraih empat kemenangan, empat seri dan dua kekalahan dalam 10 perlawanan menentang lawan seperti Old Georgians, Surbiton, Hampstead & Westminster, Beeston, Ireland, Wales dan Perancis.
“Siri jelajah ini berlangsung dengan bagus kerana kami berjaya mencapai matlamat iaitu menamatkan siri ini dengan berada di kedudukan 10 pasukan teratas dunia.
“Secara keseluruhan, peningkatan juga dapat dilihat dari segi rasa tanggungjawab dan kesedaran pemain tentang cara menjaga diri termasuk pemakanan dan gaya hidup sebagai atlet.
“Walaupun sudah 29 hari di luar negara tetapi tiada pemain yang menunjukkan rasa rindu. Ini adalah petanda baik kerana ia menggambarkan pemain gembira apabila tinggal bersama. Saya harap pemain dapat nikmati momen-momen ini,” kata Arul.
Aksi terakhir di Eropah kelmarin menyaksikan skuad negara seri 2-2 dengan Perancis hasil dua gol daripada Shello Silverius dan Faizal Saari.
Skuad negara akan pulang ke tanah air dan bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan antarabangsa pertama dalam tempoh dua tahun iaitu Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh pada Disember ini.