PETALING JAYA – Kehadiran pesawat milik tentera udara negara jiran yang terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang sejak awal Oktober lalu adalah sebahagian daripada latihan ketenteraan yang dikenali sebagai Eksesais Bersama GOLD 2021.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, eksesais tersebut dianjurkan oleh Malaysia bermula 8 hingga 18 Oktober lalu, disertai oleh negara anggota Five Power Defence Arrangements (FPDA) iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.
Beliau berkata, latihan itu juga bersempena Sambutan 50 Tahun FPDA serta akan terlibat pada acara terbang lintas (fly-past) pada esok.
Jelas Affendi, pesawat tentera udara negara jiran berkenaan adalah merupakan sebahagian dari aset yang terlibat di dalam latihan ketenteraan pelbagai hala bagi negara anggota FPDA.
“Sepanjang latihan, semua pesawat tentera negara anggota FPDA telah ditempatkan di Singapura, manakala pesawat kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beroperasi dari pangkalan udara di Malaysia.
“Ini menyebabkan peningkatan trafik udara di sekitar ruang udara negara khususnya di selatan Johor berhampiran Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Affendi berkata, penerbangan pesawat ini juga telah mendapat kelulusan diplomatik bagi tujuan latihan tersebut dan kawasan ruang udara Pasir Gudang merupakan laluan penerbangan yang dibenarkan sewaktu latihan berkenaan berlangsung.
“Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyarankan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kekeliruan dan kegusaran di kalangan masyarakat dan rakyat Johor terutamanya,” tegasnya.
Semalam akhbar melaporkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memaklumkan beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai pesawat tentera udara Singapura yang terbang rendah di sekitar kawasan berkenaan yang bukan sahaja menimbulkan gangguan malah kebimbangan.-K! ONLINE