REMBAU – Susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan limpahan air sungai dari lima sungai di daerah ini termasuk sebuah jalan iaitu Jalan Pulau Mampat-Seberang Batu Hampar terputus dua, petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohamad Najib Mustafa berkata,
pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima aduan berkenaan pada pukul 4.02 petang dan telah bergegas ke lokasi kejadian bagi mengelak pengguna jalan raya melalui jalan tersebut.
Menurutnya, pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif iaitu Pulau Mampat dan keluar ke Pekan Rembau susulan jalan tersebut buat masa ini tidak boleh dilalui.
“Terdapat limpahan Sungai Batu Hampar, Sungai Ibor, Sungai Pedas, Sungai Batu dan Sungai Mampong, namun keadaan terkawal dan sehingga pukul 6 petang, tiada mangsa yang dipindahkan.
“Namun, Kita memantau dari masa ke masa situasi banjir dan sungai di Kampung Sungai Ibor,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi. -K! ONLINE