CANBERRA – Ribut yang melanda pantai timur Australia hari ini telah menyebabkan kerosakan pada bangunan dan ‘menghentam’ bandar-bandar dengan ais batu bersaiz sebesar sebiji buah limau gedang, lapor laman berita The Guardian.
Hujan batu yang melanda bandar Queensland dengan ais berdiameter 16 sentimeter (sm) itu adalah yang terbesar pernah direkodkan di Australia.
Ia berlaku selepas hujan lebat melanda wilayah Mackay tengahari semalam (waktu tempatan).
Hari ini, sebuah pusat beli belah di Coffs Harbour, New South Wales terpaksa dikosongkan selepas hujan lebat menyebabkan siling bangunan itu runtuh.
Kira-kira 400 orang sedang berteduh dalam pusat beli belah Toormina ketika air mula mengalir daripada siling.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negeri hari ini berkata pihaknya telah menjawab lebih daripada 280 panggilan yang meminta bantuan.
“Kami menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam beberapa jam lagi, terutama selepas orang ramai pulang daripada kerja.
“Memandangkan kita berada dalam musim ribut, adalah penting supaya orang ramai bersiap sedia. Kami melihat ribut melanda dengan pantas dan ia boleh menjadi agak ganas,” katanya.
Hujan ais yang besar adalah apabila batuan ais memiliki diameter 5 sm dan dianggap janggal. Ia juga hanya boleh berlaku dalam keadaan persekitaran tertentu.
Batu-batu itu adalah berbahaya kerana ia bercampur dengan hujan batu berukuran sebesar bola golf dan boleh menyebabkan kerosakan pada bangunan. – AGENSI