KUANTAN – Seorang tukang kebun sebuah syarikat swasta yang terlibat dalam lima kes samun secara solo akhirnya berjaya diberkas dalam satu serbuan yang dilakukan pihak polis di sebuah rumah di Sungai Soi Kuantan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek yang berusia 30-an ditahan selepas beberapa jam melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) polis berjaya mengesan suspek seterusnya ditahan di rumah keluarganya serta merampas parang, telefon bimbit dan pakaian yang dipakai semasa melakukan samun.
“Dengan penangkapan suspek polis berjaya menyelesaikan lima kes samun berparang di daerah ini yang direkodkan sejak pertengahan September lalu,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Menurutnya suspek direman sehingga 24 Oktober depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Dalam pada itu Wan Mohd. Zahari berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memakai kain pelikat serta pelitup muka dan menyembunyikan senjata di dalam kainnya.
Katanya, suspek akan berpura-pura masuk ke dalam premis kedai serbaneka untuk membeli barang sebelum mengacukan parang bagi menakutkan mangsa.
“Walaupun kerugian dialami mangsa tidak melebihi RM1,000 namun kesan tindakan suspek menggunakan senjata membahayakan dan mencetuskan trauma kepada mangsa,”ujarnya. -K! ONLINE