PETALING JAYA – Bukan hanya aktor Fauzi Nawawi tetapi pengacara rancangan tersebut iaitu Shuk Sahar turut terkena tempias kemarahan netizen.
Semuanya gara-gara dialog lontaran Shuk yang seolah-olah bersungguh-sungguh mahu Fauzi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai pengalaman melakonkan watak perogol dalam filem Anak Halal melibatkan aktres Raja Farah.
Ibarat menyimbah minyak ke api, perbuatan Shuk tersebut menambahkan amarah netizen terhadapnya yang selama ini dikecam susulan berkali-kali berlaku curang terhadap isteri.
“Kalau boleh terangkan satu per satu, saya nak bayangkan,” kata Shuk kepada Fauzi.
Lebih teruk, terdapat netizen yang mempertikaikan mengapa dia masih diterima menjadi pengacara program televisyen sedangkan sering mencetuskan kontroversi sejak kebelakangan ini.
“Shuk bila nak kena gam? Bukan main galak dia bersembang,” kata seorang netizen.
Disebabkan situasi tersebut, terdapat juga pengguna Twitter yang mahu memboikot pengacara I Can See Your Voice Malaysia itu.
“Shuk itu siap boleh berlawak nak bayangkan lagi benda ini. Tak fikir ke kalau oran lain bayangkan anak atau isteri kau?
“Guna akallah nak buat kelakar. Fikirlah perasaan ibu bapa dan suami pelakon perempuan itu. Tolong boikotlah mereka,” komen seorang netizen yang geram.
Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! Shuk dilihat telah menutup ruangan komen Instagramnya sejak semalam.
Semalam, tular sedutan temu bual menerusi program Rumah 107 yang dihoskan Khir Rahman dengan Shuk memaparkan Fauzi bersama dua tetamu undangan lain, Fizz Fairuz dan Zul Huzaimy berkongsi tentang pengalaman watak jahat lakonan masing-masing.
Dalam video yang mengundang kecaman ramai tersebut, Fauzi berkongsi secara terperinci tentang pembikinan babak rogol melibatkan Raja Farah dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali terbitan 2007. – K! ONLINE