PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka mula melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID sepenuhnya pada 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses perancangan dan pelaksanaan inisiatif Digital ID oleh JPN sudah bermula tahun ini.
Beliau berkata, Digital ID akan menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.
“Pengesahan individu secara digital ini adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada dibawah jagaan dan bidang kuasa JPN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pendaftaran Negara Tahun 2021 dan Sambutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 73 Tahun secara maya hari ini.
Hamzah berkata, Digital ID adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendigitalan perkhidmatan kerajaan berteknologi dan berkapasiti tinggi.
Hamzah berkata, kerajaan juga akan memastikan sistem dan infrastruktur ICT sedia ada di JPN akan terus ditambah baik agar ianya sentiasa terkini dan selamat.
Menurutnya, Digital ID tidak akan menggantikan MyKad sedia ada sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya ia akan memperkukuhkan keselamatan MyKad. – K! ONLINE