SEREMBAN – Kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi di Negeri Sembilan dipercayai akibat aktiviti rentas negeri termasuk kehadiran pelancong di beberapa lokasi tumpuan termasuk aktiviti pulang ke kampung.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan di negeri ini bagaimanapun masih lagi terkawal dan pihaknya memahami kebimbangan yang disuarakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkenaan perkara itu.
“Saya difahamkan sejak kebenaran rentas negeri dibenarkan, ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara selepas sekian lama tidak dapat berkumpul.
“Bagaimanapun, saya belum melihat kenduri perkahwinan dalam skala yang besar dan semua masih dalam keadaan terkawal. Saya juga memahami kebimbangan oleh Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Hari ini, media melaporkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia kekal 0.88 untuk empat hari berturut-turut dan sebanyak 10 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.03
Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, sebanyak 114 kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini semalam dengan kumulatif kes sebanyak 100,647 dan jumlah kematian sebanyak 1,218.
“Alhamdullilah, keadaan terkawal cuma ada masanya kes meningkat menjadi lebih 200 dan semalam sahaja terdapat 114 kes positif yang dicatatkan di negeri ini.
“Bagi saya sekarang adalah tempoh yang cukup mencabar khususnya masyarakat sudah boleh bergerak ke semua daerah dan negeri malah jumlah kehadiran pelancong yang cukup tinggi termasuk Port Dickson dan daerah lain.
“Saya juga dimaklumkan, jumlah kes antara 200 kes dan hanya melibatkan kategori 1 dan 2 sahaja. Saya berharap semua masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE