KOTA BHARU – Kerajaan negeri masih menunggu laporan rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan akan menyiasat isu pencerobohan kawasan Hutan Simpan Ulu Galas dekat Kampung Pulai, Gua Musang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah ambil maklum mengenai kegiatan pencerobohan hutan simpan di kawasan tersebut.
“Mereka telah menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan menanam secara haram. Itu merupakan satu kesalahan besar yang dilakukan oleh mereka.
“Setakat ini, kita masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu dari JPNK,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan membuat pertemuan dengan Menteri Besar dalam masa terdekat ini.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 30 pekebun durian musang king dan getah di Kampung Pulai merayu pertimbangan semula arahan pengosongan kebun seluas 90 hektar yang diusahakan mereka sejak 25 tahun kerana berada dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas.
Notis dikeluarkan JPNK pada 30 September lalu itu amat mengejutkan kerana hanya selepas 25 tahun, baru mereka dimaklumkan tanah kebun diusahakan selama ini termasuk dalam kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan.
Sehubungan dengan itu, pekebun-pekebun akur dengan arahan JPNK dengan mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan. – K! ONLINE