PETALING JAYA – Rantau negara masih lagi berada dalam tempoh peralihan monsun di mana kelajuan angin masih lagi agak lemah iaitu sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, keadaan itu meningkatkan potensi hujan berserta ribut petir pada waktu petang terutamanya di kawasan pantai barat dan juga pedalaman semenanjung, bahagian barat negeri sabah serta bahagian barat dan tengah negeri Sarawak.
“Sementara itu, paparan imej gema radar terkini menunjukkan di mana hujan di satu dua tempat kini hanya berlaku melibatkan negeri Terengganu dan juga persisir negeri Pahang.
“Keadaan itu dijangkakan akan beransur reda tidak lama lagi,” katanya dalam laporan kaji cuaca hari ini.
Selain itu, MetMalaysia berkata, hujan berserta ribut petir kini tertumpu di bahagian selat Melaka dan keadaan itu juga menyebabkan keadaan angin yang agak kencang di kawasan berkenaan.
“Sementara itu di Sabah dan juga negeri Sarawak, hujan di satu dua tempat kini masih lagi berlaku melibatkan bahagian Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian serta Samarahan dan juga dijangkakan akan reda menjelang lewat pagi nanti.
“Namun demikian, menjelang petang nanti, MetMalaysia menjangkakan keadaan cuaca yang agak lembab seluruh negara,” katanya.
Katanya, keadaan itu lebih tertumpu di bahagian utara dan pantai barat semenanjung, bahagian barat negeri Sabah, serta bahagian utara dan tengah negeri Sarawak.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan aktiviti dengan sebaiknya. – K! ONLINE