IPOH – Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) cedera setelah kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas di Jalan Jelapang-Taman Meru Perdana di sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 7.29 pagi.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda milik KKM dilihat telah terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan.
“Terdapat seorang lelaki tersepit, namun mangsa berusia 42 tahun yang cedera telah dikeluarkan orang awam.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dalam perjalanan pulang dari Chemor ke tempat kerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE