PETALING JAYA – Penyanyi Ara Johari mengakui dirinya masih dihimpit kebimbangan serta kesedihan dalam mengharungi kehidupan sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, sama seperti orang lain, dia juga terjejas termasuk dari segi kewangan impak daripada virus tersebut yang melanda negara ini sejak tahun lalu.
Menurut pelantun lagu Bunga itu, pendapatannya menerusi nyanyian dan persembahan paling dirasai terutama semasa negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan 2 sebelum ini.
“Siapa yang tak sedih pendapatan terjejas. Ramai yang terkesan begitu juga dengan diri saya.
“Saya sendiri tiada persembahan dan hanya boleh buat (kerja)dari rumah. Itu pun bukan selalu ada. Jujur sampai sekarang perasaan risau dan sedih tu masih menghantui diri saya,” katanya.
Ara berkongsi perkara itu pada sidang akhbar secara maya selepas pelancaran muzik video single terbaharunya, Keliru bergandingan bersama penyanyi rap remaja, Lil-J baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ara memberitahu, dia boleh menarik nafas lega kerana mempunyai perniagaan kedai makan dan dibenarkan beroperasi sehingga kini.
“Alhamdulillah saya masih ada kedai makan sebagai sumber pendapatan lain.
“Jadi masih mampu untuk sara dan menampung komitmen bulanan sekiranya kurang atau langsung tiada jemputan persembahan secara maya.
“Kalau difikirkan semula, sedih memang sedih, tetapi hidup kena teruskan juga. Kena ingat ada orang lagi susah dan diuji lebih hebat daripada kita.
“Lembah Klang kini sudah pun memasuki Fasa 4 PPN. Jadi bolehlah kita tarik nafas sedikit. Harap lepas ini lebih banyak kelonggaran diberikan lebih-lebih lagi kepada golongan anak seni,” kata Ara lagi.