SUNGAI PETANI – Kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia setelah terjatuh dari bangunan hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada semalam pernah meluahkan keinginan mahu ke syurga.
Menurut Siti Norra Salleh, 44, anak bongsunya, Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, menyatakan perkara tersebut dua hari sebelum kejadian.
“Dia ada menyebut tidak sabar nak pergi ke syurga dan saya tidak sangka ia adalah petanda kami akan kehilangannya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Perdana di sini hari ini.
Katanya, arwah juga ada menunjukkan satu lukisan seseorang menangis, baru- baru ini.
“Lukisan itu mungkin anak saya sedih selepas neneknya, Fatimah Man, 81, yang pernah tinggal bersama di rumah ini meninggal dunia akibat strok di Kampung Padang Pulut, Jeneri dekat sini pada Jumaat lalu,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Faizal Husain, 44, ketika menceritakan semula kejadian berkata, insiden tersebut berlaku sangat pantas tanpa dia sempat berbuat apa-apa. – K! ONLINE