fbpx

Toyol hitam berbulu buat onar, curi duit penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk di Kubang Kerian menunjukkan wang yang dikepit menggunakan stapler sebelum disimpan di dalam beg.

KOTA BHARU – Kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian di sini tidak dapat tidur lena sejak akhir-akhir ini apabila semakin kerap berlaku kejadian wang tunai yang mereka simpan di dalam rumah tiba-tiba lesap.

Penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Polong di sini mendakwa, kehilangan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang menyelusup masuk ke rumah mereka pada waktu malam.

Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 buah keluarga di tiga kampung terbabit mendakwa sudah menjadi mangsa apabila duit mereka hilang dalam sekelip mata dengan nilai tertinggi yang pernah lesap mencecah sehingga RM10,000.

Bimbang duit dikebas toyol lagi, kebanyakan penduduk telah cuba mengamalkan petua orang tua dengan mengepit wang kertas dengan stapler, mengikat dan mere­nyukkan wang kertas serta menyimpannya di dalam peti sejuk.

Seorang penjawat awam, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, memberitahu, dia adalah antara salah seorang mangsa terbaharu toyol terbabit apabila kehila­ngan wang tunai sebanyak RM500 yang di­simpan di dalam beg pada Jumaat lalu.

“Pada hari kejadian, saya mengeluarkan RM1,000 daripada bank untuk diberikan kepada ibu bapa saya. Ketika mahu menyerahkan wang tersebut kepada mereka, saya terkejut apabila wang di dalam beg hanya tinggal RM500.

“Saya mengesyaki wang tersebut dicuri toyol kerana sebelum ini wang di dalam tabung anak saya pun hilang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Polong di sini semalam.

Menurut Sudarwaty, selepas kisah toyol semakin bermaharajalela di kampung tersebar, dia sering mengamalkan petua orang lama dengan mengikat semua wang kertas yang ada dan membiarkannya dalam keadaan renyuk.

“Orang kata jika wang diikat dan dibiarkan renyuk, toyol tidak akan mengambilnya, namun baru-baru ini selepas mengeluarkan duit daripada bank, saya terlupa untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pulai yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 40-an, mendakwa, kejadian sama sebenarnya telah berlaku kira-kira 10 tahun lalu, namun kemudian makhluk terbabit jarang muncul.

Bagaimanapun, katanya, toyol terbabit kembali muncul tahun ini dan semakin kerap membuat onar sejak akhir-akhir ini.

“Sebelum ini, beberapa penduduk mendakwa pernah melihat kelibat makhluk hitam berbulu pada awal pagi. Setiap kali kelibatnya muncul, pasti ada kes duit orang kampung hilang kena curi.

“Pelbagai cara saya buat untuk elak duit dikebas toyol seperti sorok di dalam peti ais, di bawah tilam atau di dalam tin, namun tetap hilang.

“Selepas meminta bantuan seorang ustaz untuk ‘memagar’ rumah kami supaya tidak dapat dibolosi makhluk halus, dengan izin Allah, keluarga kami kini selamat daripada menjadi mangsa kecurian toyol itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian kehilangan wang itu.

“Saya menasihatkan penduduk yang kehilangan wang supaya membuat laporan segera bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Pihak polis juga akan berusaha menjalankan rondaan lebih kerap di kawasan kampung yang dikatakan terlibat dengan kecurian wang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI