MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi jaminan pasukannya bakal menampilkan corak permainan berbeza menjelang aksi Liga Juara-Juara bertemu wakil Itali, Atalanta di Old Trafford awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Red Devils ketika ini bergelut dengan masalah prestasi selepas mengalami kekalahan memalukan 2-4 kepada Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lepas.
Kata Solskjaer, kemungkinan besar rombakan dalam kesebelasan utama akan dibuat untuk pertemuan menentang Atalanta itu khususnya di bahagian benteng pertahanan yang agak rapuh ketika ini.
“Saya mahu pasukan segera lupakan kekalahan yang lepas dan bangkit untuk memburu tiga mata berharga bertemu Atalanta di laman sendiri. Kesilapan yang sama perlu dikurangkan selain memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki.
“Apa yang pasti, kemungkinan besar akan ada rombakan dalam kesebelasan utama sesuai dengan taktikal yang dikehendaki dalam memastikan pasukan dapat meraih kemenangan sekali gus meningkatkan motivasi pasukan yang kelihatan tidak begitu yakin ketika ini,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Norway itu mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar apabila menentang Atalanta nanti memandangkan status pasukan Serie A itu selaku pendahulu carta Kumpulan F saingan Liga Juara-Juara selepas mengutip empat mata daripada dua perlawanan.
“Tiada aksi yang mudah dalam pentas Liga Juara-Juara dan persiapan pasukan juga sama seperti ketika bertemu Young Boys mahupun Villareal. Namun, kita akui Atalanta adalah pencabar terkuat dalam Kumpulan F dan saya mahu pasukan berwaspada selain berharap kami akan mencapai kemenangan pada aksi itu nanti,” katanya. – AGENSI